Refleksi Diri : Nur Auni Afifah binti Abdul Karim (A163181)
Program
Jalinan Kasih merupakan sebuah program amal yang berlangsung pada 26 November
2017 bersamaan hari Ahad. Program ini adalah program secara berkumpulan yang disertai
oleh 6 orang ahli kursus Pembangunan Diri I (LMCW1052) sesi 2017/2018. Program
ini telah diadakan di Rumah Amal Peribadi Mulia di Jalan Sekamat 7, Kajang,
Selangor. Ia telah disertai oleh lebih kurang 45 orang anak-anak yatim rumah
amal tersebut. Rata-rata anak-anak yatim tersebut berusia dalam lingkungan 6
hingga 12 tahun. Rumah amal berkenaan turut mempunyai 2 orang guru pembimbing
yag bertugas sebagai penjaga kepada anak-anak yatim tersebut. Lebih kurang pada
jam 2.30 petang, kami memulakan program bersama mereka. Pelbagai aktiviti yang
kami rancangkan seperti Ice Breaking, Fast in Word, Cross Pad, Teka Lah Guees
Lah dan sesi kreativiti. Contohnya, pada sesi aktiviti Ice Breaking, anak-anak
yatim tersebut telah dibahagikan kepada 5 kumpulan mengikut kategori umur
masing-masing. Setelah selesai pembahagian kumpulan, kami menetapkan setiap
kumpulan perlu mempunyai nama kumpulan dan “cheers” kumpulan yang menarik dan
perlu dipersembahkan di hadapan rakan-rakan mereka. Pelbagai gelagat yang
mencuit hati ketika mereka melakukan cheers kumpulan masing-masing.
Seterusnya,
mereka amat tertarik untuk melakukan aktiviti Teka Lah Guess Lah yang mempunyai
berbagai-bagai segmen untuk diselesaikan dalam masa 60 saat. Aktiviti ini
sangat bagus untuk dijalankan kerana ia membantu anak-anak yatim untuk berfikir
secara kritis dan inovatif. Contohnya, bagi segmen makanan dan buah-buahan,
mereka perlu meneka dan membuat gaya yang sesuai berkaitan dengan setiap gambar
yang dipaparkan menerusi aplikasi tersebut. Kami melihat mereka sangat gembira
dan berbesar hati untuk melibatkan diri dalam setiap aktiviti yang dilakukan
oleh kami. Setelah selesai segala aktiviti, kami mengakhiri program amal
tersebut dengan sesi penyampaian cenderamata dan sesi fotografi. Kami
menyediakan 5 buah hamper untuk diberikan kepada anak-anak yatim berkenaan.
Kami juga turut memberi sedikit sumbangan kepada rumah amal tersebut sebagai
tanda penghargaan kerana membenarkan kumpulan kami untuk melakukan Program
Jalinan Kasih ini.
Banyak
manfaat yang dapat kami pelajari apabila melakukan program amal ini. Antaranya,
kami sangat terkesan apabila salah
seorang daripada anak-anak yatim di rumah amal tersebut menyatakan bahawa kami
sangat beruntung kerana masih mempunyai kedua-dua ibu bapa lagi. Baru sekarang
kami sedar bahawasanya ibu bapa merupakan anugerah yang sangat berharga
daripada Tuhan kepada anak-anaknya. Ia membuatkan kami berfikir tentang segala
salah dan silap yang telah dilakukan oleh kami secara langsung mahupun tidak
langsung kepada ibu bapa masing-masing. Manfaat
seterusnya ialah kasih sayang juga tidak boleh dibeli dengan wang. Hal ini
kerana biarpun kita mempunyai wang yang
banyak tetapi kasih sayang perlulah diberikan secara ihklas dan telus tanpa
mengharapkan sebarang balasan daripada orang lain. Kami sangat bersyukur kerana
kehadiran kami ke rumah anak-anak yatim tersebut telah memberi pelbagai
pengajaran yang sangat berguna dan mampu diterapkan dalam kehidupan seharian
kami.
Untuk
menjayakan program amal ini, pelbagai masalah yang perlu kami hadapi. Antara
masalah yang terbesar ialah mendapatkan dana ataupun sumbangan untuk melakukan
program ini. Hal ini menyebabkan kumpulan kami terpaksa mengutip sebanyak RM
100 seorang untuk menampung kos minyak, makanan dan minuman, cenderamata dan
sebagainya. Selain itu, kumpulan kami turut menghadapi masalah lokasi rumah
anak yatim yang sering berubah-ubah pada saat-saat akhir. Pada awalnya pengurus
rumah anak yatim tersebut memberitahu bahawa ia terletak di Bandar Kajang
tetapi sejam sebelum kami bertolak, pengurus berkenaan memaklumkan bahawa
program akan dilakukan di rumah kedua anak yatim tersebut iaitu di Jalan
Sekamat 7, Kajang. Lokasi tersebut berada sangat jauh dari UKM. Masalah berikutnya
ialah kumpulan kami tidak mempunyai kemudahan kenderaan untuk ke sana. Oleh
itu, kami terpaksa menyewa kereta selama separuh hari serta terpaksa menampung
duit minyak yang banyak. Namun begitu, semua masalah ini berjaya kami tangani
dengan baik tanpa berlakunya sebarang pertelingkahan dalam kalangan ahli
kumpulan.
Secara
umumnya, kursus Pembangunan Diri I (LMCW1052) sangat bermanfaat untuk diikuti.
Hal ini kerana apabila saya megikuti kursus ini banyak perkara yang telah saya
pelajari. Ia telah mengajar saya bagaimana untuk melaksanakan program dengan
titik peluh sendiri. Contohnya, Program Jalinan Kasih bersama anak-anak yatim
di Kajang. Selain itu, melalui kursus
ini juga saya telah mempelajari pelbagai corak kepimpinan. Antaranya,
kepimpinan demokrasi dan “laissez-faire” yang telah diterapkan oleh Ketua
Pengarah kumpulan saya untuk menjayakan program amal tersebut. Beliau sangat
berlaku adil serta tidak berat sebelah apabila membahagikan tugasan kepada ahli
kumpulan mengikut keistimewaan dan kebolehan masing-masing. Akhir sekali,
melalui kursus Pembangunan Diri I ini juga telah mengubah diri saya untuk
berani berdepan dengan orang ramai. Hal ini kerana apabila saya mengikuti
program-program yang dilaksanakan, saya tidak lagi malu untuk bercakap dengan
masyarakat luar. Saya dapat melawan perasaan malu dan takut tersebut dengan
sifat berani dan yakin bahawa setiap orang mempunyai kemampuan yang berbeza
untuk menonjolkan diri masing-masing di khalayak umum. Oleh itu, bagi saya
kursus ini sangat membantu para pelajar untuk meningkatkan lagi “soft skills”
mereka.
Comments
Post a Comment